Monday 16 April 2012

[Article Writing Competition] #2 Darwinism Dalam Sains Perubatan : Dilema Penolakan Muslim


Darwinism Dalam Sains Perubatan : Dilema Penolakan Muslim

“Ali awak tu dulu monyet sebelum menjadi manusia”.
Bayangkan kalau kata-kata di atas pada hari ini diungkapkan pada seorang muslim, baik di Malaysia, mahupun di mana sahaja di pelusuk dunia. Apakah reaksinya pada sang pengucap? Marah, terkejut? Saya yakin ramai akan dengan melulu menuduh sang pengucap jahil, otak udang, malah mungkin dengan panggilan-panggilan pedas seperti kafir dan murtad. Kadang-kadang situasi ini melucukan saya. Professional muslim di seluruh dunia, khususnya dalam bidang perubatan berjuang siang dan malam bagi mengukuhkan nilai-nilai Islam dalam kehidupan sebagai doktor, tapi ramai yang tidak sedar, ramai yang terus leka dengan jarum-jarum halus Darwinism yang terus menusuk dalam  ruang lingkup dunia perubatan pada hari ini.

Sebelum kita bawakan persoalan ini ke ruang astakona perdebatan, suka penulis mengupas apakah yang dimaksudkan dengan gagasan Darwinism itu sendiri. Darwinism, seperti mana yang didefinisikan oleh John Wilkins dalam artikelnya yang bertajuk “So You Want to be an Anti-Darwinian”  bermaksud sebuah gerakan dan konsep yang berkaitan dengan idea transmutasi  spesis, sama ada yang dibawakan atau yang tidak dibawakan oleh Charles Darwin. Gagasan Darwinism berkompaskan konsep pemilihan semulajadi atau “natural selection” yang secara langsung menolak kesemua sekali teologi ketuhanan yang wujud dalam mana-mana agama. Charles Darwin, pengasas kepada ideologi Darwinism, dalam bukunya yang bertajuk “The Descent of Man” secara sinis telah menyebut “mempercayai tuhan, agama, tiada bukti bahawa manusia sejak zaman azali telah diperintahkan untuk mempercayai kewujudan tuhan yang maha agung”.  Dalam penulisan seterusnya, Darwin secara jelas memperkecilkan falsafah ketuhanan apabila menyebut “Idea ketuhanan tidak lahir melainkan melalui kebudayaan yang dibawakan dalam tempoh masa yang panjang”.

Sidang pembaca yang dihormati, cukup dengan sekali imbas, mana-mana orang Islam pasti akan mengakui bahawa idea Darwinism adalah bersalahan dengan akidah seorang muslim. Sepastinya kita semua akan sepakat untuk menolak kebenaran gagasan itu sendiri. Sayang sekali, sedang hati membenci, kita terus terbelenggu dalam jerat-jerat atheis yang sekian lama telah ditanam dalam bidang perubatan. Doktor-doktor pakar, para saintis dan ahli bijak pandai atheis sejak kurun ke-18 telah membiakkan ideologi Darwinism melalui terma-terma mereka dalam bidang perubatan moden. Fakta-fakta sains seperti Eukaryocyte ,mekanisma bersin dan penyakit-penyakit seperti buta warna berkait kromosom X dan Myopia, walaupun merupakan ilmu-ilmu sains yang pasti, namun kini, telah teruk dicemari dengan hampas Darwnism, khususnya dalam bidang pendidikan kuaternari.

Kadang-kadang, hati saya ketawa kecil melihat para senior cemerlang  di universiti dengan gah menyebut kalimah vestigial, rudimentary dan natural selection sedang tidak pernah sekali pun mereka terfikir, kalimah-kalimah ini sebenarnya mampu memudaratkan akidah mereka melalui ucapan! Lebih memeningkan kepala, situasi dunia hari ini menyaksikan bahawa hampir kesemua kolej-kolej perubatan masa kini telah pun berkiblatkan ideology Darwinism ini. Jangan terkejut jika pendedahan oleh journalis  Robert Lloyd pada tahun 2008 menunjukkan sekurang-kurangnya 14 buah negara-negara orang Islam di dunia telah menandatangani perjanjian tanpa sedar untuk mengajar teori Darwinism di sekolah-sekolah dan Universiti. Jika dilihat dalam dalam skop pendidikan di negara Mesir sendiri, tiada siapa boleh menafikan sedikit sebanyak, silibus pendidikan kita juga telah terkena  tempias gagasan Darwinism ini.

Darwinism merupakan suatu gerakan tersusun yang bertujuan menggelincirkan akidah umat islam melalui teori-teori sains. Akar umbi Darwinism menjalar terlalu dalam dalam dunia sains perubatan hinggakan, mana-mana orang yang menolak Darwinism dianggap menolak sains, lantas dianggap bodoh dan ketingg alan zaman. Professor Steven John, pensyarah kanan di University College London dengan angkuh telah menyatakan bahawa para pelajar yang tidak mahu mengakui kebenaran teori Evolusi bawaan Darwin tidak sepatutnya mengambil jurusan Biologi. Keadaan bertambah parah apabila tindakan segelintir pelajar muslim yang memboikot kelasnya kerana mengajar teori Darwinism terus diperkecilkan olehnya, lantas memburukkan nama Islam di mata komuniti sains United Kingdom. Dalam satu tindakan yang boleh dianggap kurang ajar, beliau menyatakan bahawa agama meracuni segalanya.

            Dilema-dilema yang lahir dari pengaruh Darwinism tidak berakhir di kolej-kolej perubatan semata-mata, malah terus berlaku apabila para saintis Islam dan mereka yang mengimani kewujudan tuhan melakukan kajian di peringkat Master dan PhD. Doktor Loren G. Martin sedari tahun 1999 telah menemui fungsi appendiks yang signifikan dalam tumbesaran kanak-kanak dan fetus. Teori ini juga telah disokong oleh Dr. Zaid dua tahun kemudiannya. Pun begitu, sayang sekali, pandangan ini  langsung tidak pernah dimasukkan di mana-mana buku teks perubatan, hanya kerana teori tersebut bersalahan dengan ideologi Darwinism. Lebih memeritkan, kajian Doktor Loren yang telah dibuktikan melalui kajian-kajian sains yang mendalam dan menyeluruh telah secara terancang dilitup dalam lipatan masa dan dikaburi dengan teori Pusat Bakteria yang dibawakan Professor Bill Parker, hanya kerana teori rapuh ini lebih bersifat pro-Darwinism.

            Nah sidang pembaca sekalian, mari kita berfikir sejenak, apakah ada jalan keluar pada kemelut atheism dan Darwinism yang kini menjadi tulang belakang pada kajian-kajian sains pada hari ini? Kajian penulis mendapati teori Creative Darwinism, atau yang kini dipopularkan dengan nama Neo-Darwinism merupakan antara gerakan paling berjaya mutakhir ini untuk menolak gagasan Darwinism. Neo-Darwinism yang dibawakan oleh Doktor Bergson’s menolak teori natural selection yang terkandung di dalam gagasan Darwinism kerana teori tersebut tidak mampu menerangkan pelbagai pekara misteri yang berlaku dalam sains moden, misalnya dalam kejadian isomerism dan chirality. Malah hakikatnya, jika insiden-insiden misteri ini dikaji diluar kotak pemikiran Darwinism, para saintis tidak dapat menolak bahawa teori Darwinism sebenarnya merupakan imaginasi kanak-kanak kecil yang tidak logik untuk dibincangkan sama sekali.

Doktor Bergson’s dalam teorinya menerangkan bahawa kewujudan alam dan kelahiran manusia tidaklah terjadi melalui natural selection, sebaliknya berlaku atas pengaruh suatu kuasa yang tidak diketahui lagi. Doktor Bergson’s menamakan kuasa ini élan vital. Doktor Bergson’s dalam penulisannya menegaskan bahawa kuasa ini bukanlah suatu khayalan, sebaliknya tidak dapat diketahui melalui kaca mata sains kerana kekurangan aplikasi moden untuk mengkajinya, sebagaimana kewujudan graviti yang tidak boleh dibuktikan melalui sains kerana ketiadaan alat pengukur graviti pada kurun ke-18. Dalam kertas kerjanya pada tahun 1911, Doktor Bergson’s mencadangkan bahawa kuasa ini mungkin wujud di dalam DNA setiap organism dan kuasa itu memberikan arahan kepada organism untuk membentuk suatu rupa dan susunan. Idea Doktor Bergson’s diterima oleh ramai para saintis yang menolak teori Darwinism dan pada tahun 1927, beliau telah menerima hadiah Nobel diatas kajiannya itu.

Apa yang lebih mengagumkan, teori Doktor Bergson’s ini sebenarnya pernah dibawakan oleh Isaac Newton pada akhir kurun ke 17. Dalam salah satu kajiannya, Sir Isaac Newton menegaskan bahawa “Graviti mampu menerangkan pergerakan planet, tetapi graviti tidak mampu menerangkan siapa yang meletakkan planet didalam kedudukannya sebegitu rupa. Tuhan mentadbir segalanya dan mengetahui apa yang boleh dan mahu dilakukannya.” Walaupun kedua-dua pandangan tidak secara langsung menyebut akan keesaan Ilahi, sekurang-kurangnya, kedua-dua pandangan ini mampu menjadi senjata saintifik umat islam untuk menafikan bahawa manusia merupakan produk evolusi daripada monyet.

            Melihat dari kacamata yang berbeza, para saintis yang menolak gagasan Darwinism telahpun menubuhkan sebuah persatuan yang dikenali sebagai  “ A Scientific Dissent from Darwinism” bagi menegaskan pendirian tersebut. Tertubuh sejak tahum 2001, petisyan yang diwujudkan oleh persatuan ini telah mendapat melebihi 850 tandatangan saintis dan doktor-doktor pakar seluruh dunia. Persatuan ini menghadkan kebenaran untuk menandatangi petisyan itu kepada cendikiawan-cendikiawan sains perubatan yang memiliki sekurang-kuragnya ijazah PhD bagi meningkatkan nilai petisyen tersebut. Pelbagai petisyan lain juga telah diwujudkan untuk memperjuangkan isu yang sama walaupun memiliki kumpulan sasar yang berbeza. Antara tokoh-tokoh terkenal yang memperjuangkan ideology anti-Darwinism adalah seperti Dr. Barbara J. Shaw,  Dr. Ralph Seelke  dan  Professor Colin Reeves.

            Berbalik kepada persoalan dasar kita iaitu dilema penolakan Darwinism oleh umat Islam sendiri, apakah yang boleh kita lakukan bagi menghindarkan diri dari terjebak dengan lapun yang telah dipasang oleh para atheis untuk menarik kita kearah kekufuran ini? Baru-baru ini, penulis berkesempatan untuk mewawancara beberapa orang pelajar yang sedang menuntut dalam bidang perubatan di Mesir. Apabila ditanya tentang pendapat mereka tentang tindakan pelajar muslim yang keluar dari kelas kerana tidak berpuas hati dengan pengajaran teori evolusi oleh Professor Steve John seperti yang baru penulis dedahkan tadi, Saudara Saufi, Pelajar tahun 5 dari universiti Kaherah berpendapat adalah wajar pelajar-pelajar tersebut mengambil tindakan sedemikian rupa kerana gagasan Darwinism ini berkait rapat dengan falsafah dan pembentukan pemikiran mahasiswa dan mahasiswi itu sendiri. Gagasan tersebut mampu merosakkan minda pelajar-pelajar perubatan, maka  kerana itulah perkara tersebut harus diatasi. Pun begitu, Saudara Saufi berpendapat , sekiranya Wakiq atau suasana semasa tidak sesuai untuk diambil sedemikian rupa; sebagai contoh dalam situasi pelajar-pelajar di London tersebut di mana tindakan mereka boleh memberikan nama buruk kepada Islam, maka lebih baik jika pelajar-pelajar tersebut terus duduk di dalam dewan kuliah. Saudara Saufi menambah, pada pendapatnya, jika pelajar-pelajar tersebut berkemampuan, mereka bolehlah berbincang dengan penuh hikmah bersama Professor tersebut akan kebenaran dan kesahihan teori Darwin itu sendiri.

            Saudara Naim Che Khalid, pelajar tahun tiga Universiti Azhar menyampaikan pandangan yang sedikit berbeza dengan saudara Saufi dalam menghadapi isu ini. Bagi Saudara Naim, adalah tidak salah malah sewajarnya pelajar-pelajar muslim memahami dengan baik teori Darwinism ini agar kita mampu mengenalpasti kelemahan-kelemahannya dan kemudian berhujah dengan pihak yang pro kepada idea ini untuk membuktikan bahawa teori Darwinism hanyalah satu falasi. Saudara menegaskan, sekiranya para pelajar muslim tersebut tetap berpendirian untuk keluar dari kelas Professor Steve John, mereka haruslah melakukannya dengan cara terhormat bagi membuktikan bahawa Islam mendidik umatnya agar memiliki akhlak yang mulia dna berkeperibadian tinggi. Apabila ditanya tentang cara-cara menjauhi tipu daya pihak atheis ini, rata-rata pelajar perubatan di Mesir mengakui bahawa cara terbaik untuk menghindari dakyah Darwinisme adalah dengan memiliki pemahaman  yang kukuh dan mapan tentang akidah islamiah serta selalu memohon kepada Allah agar dijauhkan daripada  kekufuran.

            Sebagai khulasah kepada ruang perbincangan yang telahpun dibuka oleh penulis ini, penulis ingin menegaskan bahawa umat Islam, khususnya para mahasiswa dan mahasiswi mestilah berhati-hati dengan perkembangan gagasan Darwinism yang semakin hari semakin merajai segenap sudut lapangan sains pada hari ini. Pun begitu, penulis ingin mengingatkan para mahasiswa dan mahasisiwi agar tidak mengambil tindakan terburu-buru dalam menghadapi isu ini demi memelihara kesucian dan nama baik Ad-din kita sendiri. Sebagai mana halus tusukan-tusukan kekafiran dimasukkan ke dalam kalbu cendikiawan-cendkiawan Islam, sehalus itulah gerakan balas perlu dilakukan bagi menangani segala dakyah golongan atheis ini. Sebelum mengakhiri penulisan ringkas penulis, penulis ingin mengingatkan para pembaca agar sentiasa memohon kepada ilahi agar dipelihara iman kita dari jarum-jarum dan bisikan-bisikan jahat syaitan yang senantiasa peka mencari jalan bagi menyesatkan anak-anak Adam.

Muhammad  Ihsan Bin Khalib Jaafar,
Tahun 2,
Kuliah Perubatan,Universiti Kaherah

2 comments:

  1. Salam,

    Saya berpendapat ramai orang tertarik dengan teori Darwisme kerana mereka ada penjelasan logik bagi sesuatu persoalan berbanding dari penjelasan dari Al-Quran dan Hadis.

    Adakah encik percaya tentang perubahan manusia bergantung kepada persekitaran? Seperti kejadian warna anak mata, warna kulit, rambut, ketinggian, dan lain-lain. Sebagai contoh, mata orang Malaysia, coklat/hitam. Sebab mata warna ni tahan cuaca sini, panas dan terang. Mata yang tak tahan? Biru. Ini evolusi manusia.

    Perubahan fizikal tersebut dapat diungkap daripada teori Darwisme di bawah tajuk 'adaptation', iaitu satu cabang daripada evolusi.

    Saya ingin bertanya, adakah encik ada sumber daripada Al-Quran ataupun Hadis untuk menerangkan sebab terjadinya perubahan fizikal manusia tersebut?

    Semoga kita dapat berbincang lagi.
    -Tenza-

    ReplyDelete
  2. Saya tahu, ramai yang akan meminta saya satu bukti dalil dalam alquran sendiri untuk menerangkan perubahan2 pada fizikal manusia . walaupun memang ada dalil2 dalam Al-quran, salah satu contoh yang agak jelas adalah dalam surah infitar ayat 7 dan 8 yang berbunyi " Dalam bentuk dan rupa apa sahaja yang dikehendakiNya, Ia menyusun kejadianmu."

    Pun begitu, secara rendah diri saya mengakui bahawa apabila berhadapan dengan atheis, cabaran utama yang dihadapi oleh umat islam adalah atheis menolak Al-quran sebagai bukti dan asas dalam apa jua perbahasan. pengalaman saya sendiri berhadapan atheis dalam isu ini akhirnya menjadikan agama saya menjadi terus terhina apabila membawakan dalil2 agama dalam perbahasan tersebut. kerana itu, satu ideologi dan perbahasan berbentuk ilmiah perlu dibawakan untuk membuktikan bahawa ideologi sains islam sebenarnya wujud tanpa sedar dalam dunia sains sekular tanpa perlu pada peringkat permulaan mengketengahkan dalil alquran itu sendiri.

    Antara teori2 yang serasa saya hampir dengan Islam adalah ideologi Neo Darwinism ini sendiri. walaupun namanya bersifat kontroversi, kita tidak dapat menolak bahawa teori yang dibawakan itu membuatkan kita serasa hampir dalam mengenali ilahi. Huraian Isaac Newton mengenai susunan planet cukup memberikan kita ruang untuk kembali berfikir tentang keagungan ilahi, khususnya apabila dilihat diluar kotak kebejatan ideologi Darwinism. saya mengalu-alukan sebarang komen. Niat saya dalam penyampaian karangan saya ini bukan sekadar untuk memenuhi penyertaan pertandingan, malah demi membuka ruang kepada corak pemikiran baru dan segar. jemput email saya di inashdeen[at]gmail.com

    ReplyDelete